Didik Al Quran

Monday, July 30, 2012

Mujahid Mujahidah yang Ditunggu



Ya Allah, Tuhanku yang Maha Pengasih dan Maha Penyanyang
Ramadhan ini sentiasa ku basahi lidahku dengan munajat kepada-Mu
Sungguh hamba itu penuh dengan hajat yang tiada kesudahannya
Namun Engkau tidak jemu mendengar dan menunaikan hajat

Allah, sungguh hatiku berbunga saat melihat gambar ini
Harapanku yang tidak pernah padam sering ku ungkapkan padaMu
Semakin mekar dek gambar yang sangat indah
Zuriat yang soleh solehah dambaan hati

Allah, Aku tahu bahawa semuanya dalam maklumMu
Semuanya dalam penentuanMu untuk hambaMu
dan Aku pasti bahawa semua yang Kau aturkan,
adalah yang terbaik untukku

Allah, janganlah kau matikan aku..
Sehingga aku mewariskan mujahid mujahidah agama..
Penerus perjuangan RasulMu
yang mencintai-Mu dan menuruti Rasul-Mu

Walau kapan kuterpaksa menunggu,
yakinkanlah aku, bahawa ada SIMPANAN yang terbaik dari-Mu untukku
Kan ku cekalkan hati, sabarkan diri dalam menanti
kerana kupasti, DOAku dalam perhatian-Mu

-- 

DOA
- Musafir Dunia @ Al-hijrah Solehah -
30072012 | 6.36pm

Monday, July 23, 2012

Kasih Seorang Kakak


Suasana hening di petang hari, angin sepoi-sepoi meniup dedaun kering di halaman rumah. Kakak bingkas mencapai penyapu dan mula menyapu laman yang mula dipenuhi dedaun kering. Terkejut dirinya apabila adiknya tiba-tiba muncul (baru pulang dari sekolah) tanpa disedarinya lantaran asyik menyapu laman rumah.

“Eh, baru balik?” Tanya kakak, matanya mengekori langkah Abu memasuki rumah. Kakak yang tadinya melangkah keluar, terhenti. Seakan terpana dengan tindakan adiknya yang tidak menjawab sapaannya malah mukanya masam mencuka tanpa menguntum senyuman. Kakak tertanya sendiri, “Kenapa agaknya dia ni, apa yang tak kena?”

“Eh, angin kencangnye..” ungkap kakak, tersedar dari lamunan disapa angin ke pipinya. Kakak baru dua hari di rumah, cuti semester telah bermula dan digunakan sepenuh masanya untuk mendekati adik-adik dan membantu umi dan ayah di rumah. Adik-adik yang ramai, berbagai ragam dan kerenah harus ditangani dengan bijaksana. Kebiasaannya kakak telah menyusun strategi sebagai perisai untuk menghadapi bermacam ragam adik-adik.

“Ya Allah berilah aku kekuatan untuk membawa adik-adikku ke jalan-Mu, jalan yang Kau redhai” kakak berbisik sendirian, sambil tangannya pantas membersihkan laman rumah yang dipenuhi dedaun yang beterbangan diterbangkan angin menyemakkan pandangannya.

“Yah! Ooo Yah!” teriak umi sedikit meninggi nadanya.

“ye...ye... umi, Yah sapu sampah di luar ni...” lirih kakak lembut.

“Tolong umi pergi kedai, barang dapur dah habis, ayah belum sempat nak ke kedai..” kata umi lembut...

“Ok! Jap eh, sikit je lagi ni..” kakak ingin menyudahkan kerjanya menyapu di luar rumah. Itulah kakak, suka melakukan sesuatu kerja sehingga selesai.

Walaupun tangannya menghayunkan penyapu membersihkan laman, tapi kotak fikirannya tak henti-henti memikirkan perihal adiknya Abu. Kakak sudah dapat agak apa yang berlaku, tapi kakak tidak mahu berteka teki, dia mahukan kepastian.

“ya, aku mesti tahu apa puncanya!” desus kakak.

“Ok umi nak beli apa? biar Yah tulis moga tak terlupa nanti” ucap kakak manja sambil menganggukkan kepala.

Kakak baru lulus ujian memandu motor, jadi kakak sudah bergelar pemandu berlesen. Ini membuatkan kakak semakin berani menunggang motosikal. Kalau sebelum ini sering mengharapkan adik-adik ke sana ke mari, ataupun ayah sering jadi mangsa, sebagai teman kakak ke mana saja dia pergi.

Sememangnya dari kecil lagi kakak dididik dengan teliti oleh umi dan ayah bagai menatang minyak yang penuh. Kakak tidak dibiasakan keluar rumah. Jika hendak kemana-mana ayahlah peneman setia. Adik-adik lelaki juga sering menemani kakak ke mana saja. Pakaian menutup aurat sudah semestinya. Kakak diajarkan bertudung di awal usia kanak-kanak, belum pun memasuki alam persekolahan. Sehingga tudung tidak terlepas dari dirinya. Soal pakaian pula kakak dibiasakan berpakaian baju kurung dan semuanya hasil jahitan umi sendiri.

“Umi, Abu mana? Yah nak ajak dia teman pergi kedai...” tanya kakak, sekilas mencari-cari kelibat adiknya itu..

“Entahlah, dalam bilik dia agaknya” jawab umi acuh tak acuh. Kakak senyum mendengar jawapan umi. Kakak tahu umi dah malas nak fikir tentang adiknya Abu.

“asyik-asyik bergayut je!” terngiang-ngiang di telinganya tempikan umi memarahi Abu.

Abu adik yang baik, pendiam malah seorang yang pemalu. Sifat baiknya itu membuatkan dia sering menjadi tarikan gadis-gadis di sekolahnya. Tidak disangka-sangka sependiam dan pemalunya boleh bercinta. “Abu...Abu” keluh kakak sambil kepalanya menggeleng-geleng, bibirnya sedikit menguntum senyuman hairan. Hatinya bercampur baur, marah dan lucu.

Umi ayah dan kakak marah benar bila dapat tahu hal itu. Mereka semua mula meleteri Abu tanda protes.

“Ini bukan masanya! Tahun ini bukankah kau ambil SPM!” suara umi sedikit meninggi.

Walau apa yang dikatakan kepada Abu, namun bagai menuang air di atas daun keladi, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tidak sedikitpun memberi kesan padanya. Inilah bahana cinta bila telah melanda diri, apa orang kata tak pernah betul pada pandangannya, dirinya dan perasaannya saja yang betul.

***

Kakak ke bilik Abu.

“Abu... buat apa tu? Jom teman akak pergi kedai...” ajak kakak lembut.

“tak mahulah! Ajak lah yang lain...” jawab Abu keras, tanpa memandang wajah kakak yang manis.

“Jomlah... tak ada sape nak teman akak ni, yang lain ke mana pun akak tak tahu... jomlah..” pujuk kakak manja.

Sepi tanpa suara.

Abu menarik nafas panjang lalu mengeluarkan kata: “Yelah-yelah!”.

Kakak senyum riang sambil mulutnya kumat kamit menuturkan hamdalah berulangkali memuji Allah; “Alhamdulillah”. Kakak menarik tangan Abu dan berlari-lari anak menuju ke arah motosikal di luar rumah.

“Biar akak yang bawa ye, Abu duduk belakang” lirih kakak sambil menguntum senyuman ke arah Abu. Tiada kejernihan dilihat pada wajah adiknya itu. Sedikitpun tidak terkesan dengan sikap kakaknya yang cuba untuk meriangkannya.

Perjalanan ke kedai sepi tanpa bicara. Sesekali kakak mencuri pandang ke arah Abu, melalui cermin sisi. Masih mencuka. Akak rasa gelisah dan tak sabar-sabar untuk mengetahui isi hati adiknya itu. Kakak tahu Abu sedang bersedih tapi apa puncanya masih belum diketahui.

***

Di kedai,

Kakak membeli barangan yang diminta umi sedang Abu hanya tunggu di motor melayan perasaannya. Kebiasaannya dia akan sama-sama membantu kakak cari barang dan mengangkatnya. Kakak menerima keadaan itu, dia tidak mahu menambah kesedihan Abu lalu membiarkan saja.

“Tengok je? Tak nak tolong,” kakak menyapa adiknya sambil memasukkan barang-barang ke dalam bakul. Dengan malas Abu membantu kakak. Kakak hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Perjalanan pergi dan pulang sama saja, sunyi sepi. Hanya bicara angin didengari.

“eh akak nak ke mana ni!” tegas Abu pada kakak bila menyedari kakak melalui jalan bukan menghala ke rumah.

“Kita jalan-jalan dulu, baru kita balik rumah ye...” jawab kakak bersahaja.

“tak payahlah! Balik je!” balas Abu dengan keras..

“ala sekejap aje bukan lama pun..” akak cuba memujuk...

“tak payah! Orang kata tak payah, tak payah la!” tegas seakan menengking...

“Abu... kenapa ni? Tak baik tau macam tu... jomlah sekejap je kita pergi taman, ok?.. boleh la...” akak menunjukkan rasa tidak puas hati dalam masa yang sama cuba terus memujuk.

Tiada lagi bantahan, itu menunjukkan Abu telah terima pujukan.

“alhamdulillah” bisik akak perlahan.

Akak memberhentikan motor di tepi taman. “ jom kita duduk di situ...” kakak menunjuk ke arah kerusi pendek yang boleh diduduki oleh dua orang saja. Abu yang masih mencuka tidak bergerak, terpaku di atas motor sambil matanya merenung tajam ke arah kakak.

“apa yang ditenung? Marilah duduk sini, kita berbual-bual... lama kita tak berbual kan?” desak kakak agar adiknya itu menuruti. Dengan langkah yang malas Abu menuruti kata kakaknya...

“Kenapa ni? Abu ada masalah ke di sekolah?”

kakak cuba mencungkil rahsia. Sepi tanpa jawapan, Abu seolah-olah tidak mendengar apa yang dituturkan padanya.

“Abu... tahu tak, akak sayang pada Abu.. tujuan akak bawa Abu datang sini sebab akak tahu Abu ada masalah, akak cuba untuk bantu, janganlah macam ni... akak terlalu sayangkan Abu... percayalah pada akak, Abu boleh bagitahu apa saja pada akak, insyaAllah akak akan cuba membantu sekadar yang akak mampu, kalau tak pun sekurang-kurangnya akak dapat menggembirakan Abu”

kakak mengusap-ngusap belakang adiknya. Abu mula memalingkan mukanya menatap wajah kakak, seakan-akan meminta kepastian apa yang kakak tuturkan. Kakak membalasnya dengan senyuman sambil menganggukkan kepala mengiakan apa yang diungkapkannya, minta dipercayai.

“ok apa masalahnye yang merunsingkan Abu, pasal Eli ke?” kakak mengagak. 



Abu menganggukkan kepala, mengiakan tekaan kakaknya.

“apa yang dia dah buat sampai Abu muram je ni?”

Lambat soalan dijawab, kakak tetap sabar menanti.

“Dia menduakan Ni...”.

Abu memang membahasakan dirinya dengan Ni sejak kecil lagi.

“Apa maksud Abu?”

kakak sudah faham sebenarnye cuma mahukan perincian daripada adiknya itu.

“Dia ada lelaki lain selain Ni”.

Kakak begitu terkejut mendengar apa yang diungkapkan oleh adiknya itu. Suhu badannya seakan meninggi daripada asalnya. Hal tersebut benar-benar membuatkan kakaknya naik angin.

“Astaghfirullahala’zhim... lailaha illallah...betul ke? Mana Abu tahu... Abu nampak?”

Abu tunduk, titisan jernih menitik membasahi tanah. Kakak perasan adiknya menangis, lantas mengusap-ngusap kepala dan badan adiknya. Mata kakak mula ditakungi air, menunggu masa saja untuk membasahi pipi. Sepi. Kakak begitu sensitif orangnya.

“Ye Ni nampak, dia melayan budak lelaki tu, bukan main mesra lagi...” menahan sebak.

“Abu tak tanye Eli siapa lelaki tu?”

“Dah! Ni dah jumpa Eli untuk dapatkan kepastian”

“apa jawabnye?”

sekali lagi tiada kata yang terkeluar dari mulut Abu hanya linangan air mata. Akhirnya dia menjawab.

“Eli...Ni suruh pilih antara budak lelaki tu ataupun Ni..”

“Apa dia kata?”

“dia kata dia sayang budak lelaki tu, dia juga sayang pada Ni”

“astaghfirullahal a’zim... lailaha illallah...dia dah gile ke!, sampai hati dia buat Abu macam tu....ya Allah” kakak tak dapat menahan kemarahannya.

Abu tak bersuara lagi, ceritanya dah habis Cuma menanti mutiara dari kakaknya yang boleh meredakan kesedihannya.

“sudahlah Abu, lupakanlah dia! Perempuan macam tu tak patut dibuat isteri pun! Cuba Abu fikir, belum lagi kahwin dah menduakan Abu, kalau dah kahwin macam mana? Lintang pukang rumah tangga dibuatnya. Lihat betapa Allah Maha Pengasih, Dia sayangkan Abu, Dia nak tunjukkan bahawa Eli tu bukanlah perempuan yang baik. Nasib baik Abu tahu sekarang daripada tahu kemudian, bila dah berumahtangga nanti... cuba Abu fikir.. dah jangan sedih-sedih. Buat apa nak sedih terhadap perempuan macam tu!” tegas kakak memberi nasihat.

“ Abu, Allah Maha Tahu lagi Maha Pengasih dan Penyayang. Semua yang berlaku ini tanda kasih sayang Allah pada Abu. Cinta yang Agung milik Allah dan untuk Allah, bila kita dah temui cinta Agung barulah kita boleh mencintai sesama makhluk, itupun apabila sudah halal bagi kita, iaitu melalui pernikahan. Bila cinta yang disemai kerana Allah dan untuk Allah maka segala-galanya indah, bukan macam yang sekarang ni. Derita lagi sengsara, rapuh dan tidak kukuh, kerana cinta yang dibina mengikut hawa nafsu. Jadilah cinta itu, cinta terlarang yakni cinta yang dimurkai Allah, bila-bila masa akan hancur.” Sambung kakak.

“Akak ada baca novel yang tajuknye Ayat-ayat cinta, best sangat buku tu. Abu tahukan akak bukanlah suka baca novel, tapi bila sahabat-sahabat membicarakan mengenai buku tu masa akak belajar di pondok masa cuti hari tu, akak terus minat nak baca... masya Allah, indah sangat indah... dalam tu mengisahkan seorang pemuda namanya Fahri yang sangat baik hati lagi soleh yang sentiasa mengingati Allah dan mengamalkan ajaran Islam sebaiknya... komitednya dia dengan agama Islam, diminati ramai wanita solehah, tetapi dia sangat menjaga diri sehingga akhirnya dia bertemu jodoh dan bernikah kemudian mengharungi hari-harinya dengan cinta terhadap orang yang sudah halal baginya” kakak menghela nafasnya, kemudian menyambung kata-katanya yang belum menemui noktah.

Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, begitulah sebaliknya. Ini adalah kata-kata Allah dinukilkan dalam surah an-Nur ayat 26. Akak tak mahu Abu memperisterikan perempuan murahan yang tidak ada harga diri, kerana akak terlalu sayangkan Abu. Kelak Abu juga akan merana. Sekarang bukan masanya lagi untuk Abu fikirkan soal pasangan. Tumpukan sepenuh perhatian untuk menagih Cinta Allah cinta agung. Pelajari dan dalami ilmu agama. Lelaki yang hebat dan gagah bukanlah lelaki yang baik tubuh badannya dan pandai memikat wanita tetapi lelaki yang mantap rohaninya. Memiliki Cinta Allah. Kelak pasangan untuk Abu akan Allah aturkan yang jauh lebih baik dari Eli. Percayalah sayang...” akak menuturkankan kata penuh semangat dan lembut bercampur sebak di dada seolah-olah merasakan apa yang dirasakan oleh adiknya. Kakak mengusap-usap kepala dan bahu adiknya itu.

Abu mendengarkan dengan penuh minat bait kata yang keluar dari mulut kakaknya itu. Wajahnya mula menampakkan sinar cerah menunjukkan kedukaannya kini terubat dengan kata-kata motivasi kakaknya. Dia merasakan dia disayangi dan masih ada yang prihatin dengan dirinya. Dia sangat terharu di atas keperihatinan kakaknya yang bukan saja menasihatinya dengan penuh hikmah malah menyentuhnya dengan sentuhan lembut memujuk bagai seorang ibu. Kesuraman wajahnya telah berlalu pergi, kini dia mula tersenyum menampakkan lesung pipitnya menambahkan seri wajahnya. Itulah senyuman yang dinanti-nantikan kakak. Itulah keistimewaan Abu, mempunyai lesung pipit di pipi dan terserlah apabila senyuman diukirkan.

“Abu mesti baca buku tu... nanti akak bagi ye...”

“emm!” Abu mengangguk dengan penuh semangat tanda setuju dan tak sabar-sabar nak membaca buku yang dimaksudkan.

Sesekali orang yang berkenderaan yang lalu lalang memerhatikan gelagat mereka. Kakak jadi malu.

“orang pandang kitalah” kata kakak.

“Biarkan! Kita bukan buat salah, kita adik beradik, sentuhan akak bukanlah satu dosa kan?” Abu mengingatkan.

Kakak hanya tersenyum membenarkan kata adiknya.

“Memang benar, tapi orang tidak tahu yang kita ni adik beradik”

“kalau mereka nak bersangka buruk, biarkan kita dapat bonus pahala”

Kedua-duanya tertawa kecil.

Kakak begitu pemalu dan menjaga soal itu. Dia malu kalau-kalau orang salah sangka terhadapnya, mana taknye seorang muslimah yang bertudung litup dan berjubah duduk di taman berdua-duaan dengan seorang lelaki dan usap mengusap. Tambah pula tubuh adiknya tu jauh lebih besar dari kakak. Mudah bagi yang memandang salah tafsir terhadap mereka.

“Allah...” kakak menghela nafasnya

“Ok! Adikku sayang, bagaimana keadaanmu sekarang?” kakak bertanya dengan nada yang ceria dan diakhiri dengan tawa gembira. Mereka berdua tertawa bersama, memecah kesunyian di tengah taman permainan yang sunyi tanpa suara kanak-kanak yang bermain. Matahari mula meninggi, kehangatannya mulai dirasakan..

“Jom kita balik!...” kakak menepuk bahu Abu

***

Perjalanan pulang dengan penuh bersemangat dirasakan. Sesekali kakak mencuri pandang ke arah adiknya di belakang menerusi cermin sisi. Ternyata adiknya masih dalam senyuman. Senyuman manisnya masih terukir dibibir adiknya.

“alhamdulillah” bisik hati kecil kakak memanjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana dengan izinNya dapat dia membantu adiknya keluar daripada belenggu kesedihan.

Setibanya di perkarangan rumah.

“lamanya pergi kedai... ke mana agaknya melencong?” tanya umi sedikit menyindir.

Kakak memandang Abu dan menguntum senyuman lantas menjawab.

“Bawa Abu jalan-jalan, ummi..”

Kemudian Abu dan kakak tertawa. Semua yang ada diperkarangan rumah kebingungan. Kakak memegang bahu Abu dan menghadiahkan senyuman, pemberi semangat dan keyakinan kepada adiknya. kemudian mengangkat barang-barang yang dibeli ke dalam rumah. Belumpun sempat kaki kakak melangkah ke dalam rumah, Abu membisikkan sesuatu di telinga kakak.

“rasa nak cium je..”

“apa salahnya” jawab kakak berseloroh lantas membalas dengan senyuman, kemudian berlalu membawa barang-barang ke dapur.

Ternyata gelagat mereka sukar diertikan. Umi dan Mak pa masih dalam kebingungan dan nampak perubahan yang berlaku pada diri Abu. Senyumannya masih meleret sedang tadinya masam mencuka. Dan gelak tawa mereka menampakkan hubungan yang rapat tidak seperti sebelumnya bagaikan orang asing yang saling tidak mengenal antara satu sama lain. Semoga Allah merahmati mereka dan keluarga.



--


Semoga Allah merahmatimu selalu, nantikan kehadiranku diSANA

- Musafir -
In the observation of Allah

September 2009

Tuesday, July 17, 2012

Ahlan ya Ramadhan..



Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Ahlan wa sahlan, marhaban
Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan
Ahlan wa sahlan, marhaban
Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan

Ramadhan menjelma lagi
Menghimpun Rahmat dan Maghfirah
Bertambah keberkatannya
dengan amal ibadah
Diri tunduk keinsafan
dan rasa berdosa

Bulan kemuliaan yang dikurniakan ini
Usah biarkan berkatnya
berlalu sia-sia saja
Ia hadir bagai air bah
membasuh daki dunia

Sambutlah Ramadhan dengan jiwa terbuka
seperti ketibaan orang yang kita cinta
Dengan ucapan
Ahlan Wa Sahlan Marhaban Ya Ramadhan
Hati gembira pintu terbuka
Rahmat Allah Yang maha Besar

Kita beroleh mutiara hikmah Al-Quran
Lantas dibelenggu nafsu dan syaitan
Didatangkan pula Lailatul Qadar
Pengorbanan yang dibuat balasannya syurga

Ahlan Wasahlan ya Ramadhan...

Artis: Rabbani


--

Allahu akbar, terasa sangat RINDU akan hadirnya RAMADHAN.. Allah, sungguh hati ini ingin memaknai RAMADHAN kali ini dengan sepenuhnya, tolonglah hamba wahai Allah.. 
Moga RAMADHAN bermakna dalam meraih TAQWA amin..

RAMADHAN yg dinanti tinggal beberapa hari lagi, namun apakah ada esok untuk kita? Tidak dapat kita pastikan, hanya DOA sebagai jambatan kita untuk kita dpertemukan dengan RAMADHAN, semoga Allah izin kita semua berjumpa dan melalui RAMADHAN kali ini hingga akhir, Amin3 ya Robb..


Selamat menyambut kedatangan RAMADHAN kepada semua ummat Islam.

Monday, July 9, 2012

Ya Nisa'





REPOST ^^
Bangunlah wahai puteri-puteri
Bangkitlah dari lenamu
Hidup ini harus dikau isi dengan keimanan
Dirapi dan disimpul meraih cinta Allah
Hanya cinta itu yang perlu ada dalam relung jiwamu
Bukan cinta selain itu

Puteri-puteri dikau mesti menjadi muslimah
Muslimah acuan Islam
Al-Quran sunnah dijadikan pegangan
Syariat Islam dijadikan pakaian
Maruah mesti dipelihara
Tidak mudah tunduk pada keinginan nafsu
Yang tidak pernah puas

Bisikan syaitan, tepis sekerasnya
Moga fikiran dan tindakanmu bebas dr nya
Hidupmu segar dan subur dengan amalan Islam
Zikir dan doa sering dikau panjatkan
Solat dan sabar sebagai penolongmu

Jika semua itu telah tersemadi dalam jiwamu
Maka berbahagialah dikau
Segala kenikmatan dan kebahagian dijanjikan untukmu
Didunia jua di akhirat sana
Duhai puteri duhai muslimah harapan agama
Perkasakan dirimu dengan iman dan amalan

--
Agar diri tetap teguh atas landasan-Nya
- MD -
28/4/08

Sunday, July 1, 2012

Insafi Diri






MATI itu PASTI wahai diri..
Usah SOMBONG dan BANGGA diri..
Esok TANAH juga tempat kembali..
MAAFkan ku atas semua KHILAF diri..


Ayuh bersama kita insafi
BERSIH dan JERNIHkan lah hati
Dari semua MAZMUMAH dalam diri
Hiasi hanya MAHMUDAH memenuhi hati


ketahuilah wahai DIRI
Hanya HATI yang BERSIH dan SUCI
Pembeza Insani
Nilaian UTAMA Ilahi Rabbi 

--
- Agar HATI tiidak MATI -
Musafir Dunia @ Al-hijrah Solehah 
26062012 | 6.26p.m

Ulasan Pembaca