Didik Al Quran

Thursday, August 11, 2011

Kesilapan Kita...


Bismillah..
Alhamdulillah, Allah masih beri peluang untuk kita hidup detik ini. Semoga detik ini kita guna sebaiknya untuk Allah agar ianya dapat membantu kita di ‘sana’, insya’Allah amin.
Alhamdulillah Allah yang Maha berkuasa memberikan ilham di minda ini, sehingga tangan bergerak mencoretkan sesuatu untuk tatapan pembaca dengan perintah dan kehendakNya. Mudah-mudahan Allah merahmati dan meredhai kita semua. 

Alhamdulillah detik ini sudah hampir 26 tahun  Allah beri pinjam umur  dan tubuh badan. Namun tak tahu sebanyak manakah selama hidup yang diberi pinjam ini telah digunakan sebenar-benarnya untuk Allah. Astaghfirullahal azhim. Lailaha illa anta subhanaka inni kuntu minazholimin.

Ummat Islam makin membaik atau rosak?
Dalam jangka masa pinjaman ini, sedikit sebanyak dapat dikutip fenomena kehidupan dunia dan isinya dengan kaca mata yang sangat mengerikan. Kerosakan demi kerosakan umat Islam dapat kita saksikan. Hari-hari terpampang di dada-dada akhbar berita-berita yang menakutkan. Bunuh, rogol, zina, buli dan sebagainya. Itu yang tertulis, yang dilaporkan. Bagaimana pula yang tidak dilaporkan? Kemungkinan jauh lebih besar jumlahnya daripada yang diketahui. Wal’iya zhubillah.. yang paling menyedihkan, hampir semua kes, pelakunya adalah orang Islam. Innalillah. Menangis hati, kecewa jiwa dengan keadaan ummat yang kritikal ini.

Itu kerosakan bagi orang awam. Tidak terkecuali, ‘kerosakan’ juga turut disumbangkan oleh golongan yang mahukan Islam. Ini yang sangat dikesalkan. Merintih hati meruntun jiwa dalam kesedihan melihat ummat sendiri begini. Bagaimana pula perasaan Rasulullah bila dapati keadaan ummat baginda dalam keadaan yang menduka citakan ini. Sedangkan baginda sangat cintakan kita semua, ummatnya sehinggakan saat hampir wafat pun baginda masih menyebut “ummati, ummati, ummati”. Kita? Bagaimana? Sayangkah kita kepada baginda?!

Golongan yang mendokong Islam
‘kerosakan golongan yang mahukan Islam’, ini yang menjadi tumpuan ana kali ini insya’Allah. Saudaraku yang dikasihi kerana Allah, ana menyeru diri ana dan juga antum agar jangan membiarkan diri kita membawa fitnah kepada Islam yang tercinta. Jagalah iman, jagalah iman dan jagalah iman kita. Bagaimana ummat hendak membaik jika kita juga sama seperti mereka yang ‘huha huha’ dalam hidup ini. Bukankah kita tahu kita punya tujuan hidup. Untuk apa kita diciptakan. Kita punya tugas kita sebagai muslim, daie ilallah! Usah lupa!

Sekilas memandang dalam dunia realiti hari ini dan dari sumber yang terpercaya, memberitahu kpd minda bahawa ‘ummat ku makin rosak’ lantaran kerosakan makin menular kepada golongan  yang mahukan Islam. Innalillah. Sedih dan pilunya hati. Allahu taala a’lam.



Tidak menjaga pandangan mata
Ini satu masalah besar sebenarnya. Kerana pandangan itu adalah ‘awwalu ma’siah’, awal kepada maksiat. Jika kita sendiri tidak mampu beramal dgn ghudul bashar, bagaimana orang awam. Cuba kita fikirkan.

Rasulullah bersabda; “Penglihatan adalah anak panah beracun dari panah-panah syaitan”

Oleh kerana bahayanya pandangan mata itu, Allah memerintahkan kita agar menundukkan pandangan supaya kita terselamat daripada belitan syaitan. Tidak cukup dengan itu, Allah berfirman dalam hadis Qudsi-Nya, Dia akan menganugerahkan kemanisan iman bagi siapa yang memelihara pandangan. Masya’Allah sayangnya Allah kepada kita. Allahu rahmanu ya rahim. Bila pandangan tidak dijaga, maka mudahlah maksiat yang lain dilakukan. Berlakulah ikhtilat. Mana tidaknya, bila tengok-tengok, pandang-pandang, berkenan. Kalau terus jumpa mak bapa Alhamdulillah bagus! Ini tidak, sebaliknya mencari jalan untuk mendekatkan diri. Awalnya cari jalan untuk bermuamalah sesama mereka (bukankah muamalah yg dibenarkan pada awalnya sudah diselewengkan jika demikian?) maka terjadilah ikhtilat.

Dan satu hal yang ana tidak senang sekali berlaku, mempamirkan wajah di fb. Duhai saudariku yang dikasihi kerana Allah, jika demikian nt lakukan sangat tidak membantu untuk kaum adam menundukkan pandangan mereka. Jadi ubahlah profile picture antunna. Dan jangan sama sekali memasukkan gambar antunna dalam laman sosial. Untuk apa memaparkan gambar antunna, untuk apa? Tanyalah hati yang paling dalam, adakah Allah redha? Lakukanlah apa pun jua untuk meraih redha Allah duhai ukhti. Ayuh sama-sama saling membantu dalam keimanan ini, insya’Allah semoga Allah memilih kita menjadi hambaNya yang bertaqwa, amin. Lakukanlah kerana Allah. Insya’Allah bukankah kita telah mengaku dan berikrar bahawa segala urusan hidup kita hanya untuk Allah. Jadi dimana perlaksanaannya?! Tepuk dada tanyalah iman.

Firman Allah yang bermaksud;
Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. (al-An’am, 6:162)

Ikhtilat
Ikhtilat tidak dititik beratkan. Soal muamalah(pergaulan) antara muslimin dan muslimat tidak dijaga. Muamalah yang dituntut dijadikan landasan untuk berikhtilat. Bukankah kita hanya dibenarkan untuk bermuamalah apabila ada keperluan, yang memerlukan untuk kita berhubung  dengan lawan jenis kita. Selain itu tidak ada! Jangan membiarkan kita dibuai keasyikan hingga melebihi batas muamalah yang dibenarkan dalam Islam. Sehingga akhirnya menjatuhkan diri kita ke dalam fitnah (wali’ya zhubillah). Akhirnya bercouple, berdua dan ada juga yang sampai berzina, nauzubillah. Tapi itu yang berlaku! Sangat menyedihkan. Dimana ilmu kita, kita campakkan? Yang sekian lama kita tahu HARAM couple. Bila couple tu HARAM maka mukaddimah couple juga adalah HARAM. Ikhtilat adalah mukaddimah couple, saudara.

Dalam FB umpamanya, di wall bercampur baur antara lelaki dan wanita. Memberi komen yang merepek yang tak perlu pun kepada perbualan. Ungkapan seperti “huhu, hee, haha” umpamanya sangat tidak perlu dalam perbualan antara lawan jenis. Apa yang perlu dilakukan adalah straight to the point dan tegas dalam perbualan. Jangan diiringi dengan mimik muka (simbol) atau wording tadi (“huhu, hee, haha”) apabila berbicara, lainlah jika berbual sesama kita (sama jenis) ‘ala kullihal.

Berpakaian
Berpakaian adalah antara permasalahan yang makin meruncing yang ana lihat sekarang. Mana tidaknya yang istilahnya ”mahukan islam” ini memakai pakaian yang dilabelkan busana muslimah tapi tidak sesuai dengan syariat Islam. Memakai jubah umpamanya, sudah bagus memakai jubah, Alhamdulillah tetapi jubah yang dipakai ketat dan jarang. Apakah itu telah dikategorikan menutup aurat? Sudah pasti tidak, saudaraku. Kerana yang dikatakan menutup aurat itu adalah memakai pakaian yang menutup perhiasan yang diwajibkan tutup (seperti yang difirmankan Allah dalam surah an-Nur) juga hendaklah longgar dan tidak jarang. Bilamana ini dipenuhi barulah ianya dikatakan menutup aurat menurut apa yang diajarkan dalam Islam kepada kita.

Mari kita lihat dan fahami firman-Nya dalam surah an-Nur ayat 31;

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.

Daripada surah ini, dua-dua perkara disentuh iaitu mengenai tundukkan pandangan juga berkenaan aurat wanita. Subhanallah. Beramallah duhai kaum muslimin semua. Semoga kita menjadi hamba yang beruntung, insya’Allah amin.

Baru-baru ini, ana jumpa dengan adik-adik junior yang dulunya sama-sama dalam satu persatuan Islam ketika masih belajar suatu masa dulu. masing-masing yang menggerakkan Islam. Yang dulunya cantik dan ayu mengenakan tudung labuh dan baju kurung atau sesekali berjubah. Indah dan sopan melihatnya. Namun kini makin maju kedepan dengan mengenakan tudung berfesyen. Seiring dengan perkembangan fesyen sekarang, tudung arini, ariani dan sebagainya. Terasa cantik pula ye memakainya. Astaghfirullah. Adik -adikku berpada-padalah dalam berhijrah. Jangan kita dibutakan dengan keadaan dan keinginan nafsu. Tanyakan pada diri kita, untuk apa aku berpakaian seperti ini?
Berpakaianlah untuk menunjukkan dan membezakan antara yang muslim dan yang kafir. Berpakaianlah agar dapat dibezakan antara orang yang berilmu dan yang jahil. Berpakaianlah dalam usaha mencerminkan ciri-ciri keislaman kita. Bahawa kita bangga dengan pakaian Islam seolah-olah nk orang tahu, “inilah pakaian yang dituntut oleh Islam kepada kita selaku muslim!”. Bukannya malu! Patutkah kita malu dengan pakaian yang dituntut Islam kepada kita? Sedangkan Allah suka. Yang mana yang kita dahulukan? Allah atau manusia. Lailaha illallah.

Berkata seorang saudara seIslam;
" Betapa cantik sekalipun kain serbanmu, betapa indah juapun kain niqabmu, jika kamu lakukan itu bukan kerana ALLAH, ketahuilah ia tiada nilai di sisi RABBmu." - Firdaus Muhammad 

Pernah satu ketika di masjid, ana ditegur oleh seorang yang boleh ana panggil makcik.
“Cantik makcik tengok awak pakai tudung labuh, nampak sopan je” kata makcik tersebut
Ana cume mampu tersengeh
“Anak makcik ada sorang yang macam awak, tapi katenye, ada ke orang nakkan dia sebab dia pakai tudung labuh” tambahnya lagi.
“eh kenapa cakap macam tu, tentu saja ada. Saya sendiri telah pun menikah. Alhamdulillah” kata ana.
“Saya sebelum kahwin memakai pakaian yang dull, warna pakaian yang gelap dan tak menarik dan sentiasa memakai tudung labuh, tapi Alhamdulillah kini saya telah menikah” tambah ana lagi.
“Oh yeke dah menikah. Suami sama-sama belajar ke? Macam mana boleh kenal?” soalnya lanjut.
“saya tak kenal pun suami saya. Dan kami pun tak berkenal-kenal seperti anak-anak muda sekarang buat, alhamdulillah” Jawab ana
“Habis tu macam mana boleh menikah” tanyanya hairan
Ana hanya tersenyum lalu menjawab
“Semuanya aturan Allah, melalui orang tengah. Ustz yang mengajar saya menjadi orang tengah” jawabku ringkas.
“owh.. Alhamdulillah. Makcik harap anak makcik juga akan bertemu jodoh macam awak” katanya lagi.
“Insya’Allah makcik, katakan kepada anak makcik jangan bimbang dengan pemakaian yang indah ini. Akan ada jodoh yang baik untuknya nanti, insya’Allah”

Demikianlah secebis kenangan bersama seorang hamba Allah. Apa yang ana nak gambarkan disini adalah kekhuatiran para muslimah untuk mengenakan pakaian muslimah sejati yang dituntut syara’. Khuatir ‘tak laku’, tak ada orang nak, orang tak minat. Astaghfirullahal azhim. Saudariku yang dikasihi kerana Allah, mengapa berfikiran demikian. Bukankah setiap perilaku kita untuk meraih redha Allah, memancing perhatian Allah. Bukan manusia! Ayuh sama kita kembalikan arah perilaku kita kepada jalan sebenar. Iaitu untuk Allah semata-mata. Usahlah dikhuatirkan kepada sesuatu yang diluar pengetahuan kita. Serahkan semua urusan kepada Allah.

Mengapa takut tak laku lantas antunna berhias dengan memakai serba indah, agar dipandang indah di mata manusia bernama lelaki (akhi). Adakah begitu murah ukhti, untuk menambat hati akhi hingga akhirnya menyebabkan akhi menikahi ukhti. Astaghfirullah. Ukhti, jika demikianlah dimana letaknya keberkatan. Bukankah hanya redha Allah dan berkat dari-Nya yang kita harapkan. Jadi mengapa demikian ukhti? Berperilakulah sesuai dengan apa yang dituntut dan di ajarkan oleh agama kepada kita. Yang perempuan jangan bertabarruj dan yang lelaki kawallah diri – tundukkanlah pandangan. Cukuplah bagi kita menyerahkan urusan kita kepada Allah. Biar Allah saja yang menentukan dan menguruskan jodoh buat kita. Bukankah Allah itu Maha tahu lagi Maha luas pengetahuan-Nya. Allahu akbar.

Menurut Saidatina Aisyah r.a;
"Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang"

Ingin ana bawakan cerita bagaimana seorang hamba Allah dikhitbah dan bagaimana dia mengharapkan jodoh dari Allah. Tajuk entri yang lepas, Nikah landasan cintanyaInsya’Allah bukan untuk dibanggakan tapi untuk memberikan gambaran bahawa Maha Tahunya Allah dalam menentukan sesuatu buat kita, hambaNya. Insya’Allah. Ambillah yang baik melaluinya.

Cukuplah antum beramal untuk Allah dalam usaha untuk menjadi soleh/solehah untuk mendapat pasangan yang solehah/soleh. Bukankah Allah telah berfirman dalam surah an-Nur ayat 26 yang bermaksud;

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (surga).

Yakinilah dengan firmanNya wahai saudaraku sekalian. Janji Allah itu pasti benar dan Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janji-Nya. Maha Adil-Nya Allah, masya’Allah. Alhamdulillah.

Berpecah untuk menyatu
Tujuan dakwah adalah untuk membawa manusia kepada Allah bukan kepada persatuan atau satu-satu pertubuhan atau badan. Inilah sebenarnya matlamat dakwah, tidak kiralah persatuan apa, atas nama apa. Kita bergerak kerana Allah bukan jemaah. Jika matlamat dan niat kita benar, kita semua akan bersatu dan menyatu. Namun realitinya tidak begitu! Katanya bermatlamat yang satu, kepada Allah yang satu, mengapa perlu bergaduh sesame sendiri. Kerana berlainan jemaah? Allah, Allah, Allah. Ukhti wa akhi kita bergerak untuk Allah, hanya untuk Allah, hanya untuk Allah. Mengapa perlunya bertelagah?! Bermasam muka dan sebagainya hanya kerana dia dari jemaah lain dan kita jemaah lain. Bukankah kita datangnya dari Allah dan akan kembali juga kepada Dia yang satu. Waima dalam pertubuhan yang berbeza, kita harus menyatu dan saling hormat menghormati. Kita adalah satu badan yang perlu saling menampung. Jangan pernah memilih ‘bulu’ saudaraku. Allahu akbar. Ini kesilapan yang ana rasa sangat-sangat tak patut berlaku. Namun inilah realiti kehidupan kita hari ini, astsghfirullah.. Kembalikanlah diri kita pada jalan yang Allah redha duhai saudaraku. Hanya redha Allah yang kita cari bukan redha manusia.


Terlalu banyak kesilapan demi kesilapan yang kita lakukan dalam menapaki hari-hari kita. Semoga Allah mengampuni kita lantaran dosa yang tidak kita sedari. Marilah kita meluruskan hati dan langkah kaki kita agar sentiasa atas landasan yang benar lagi diredhaiNya. Insya’Allah semoga Allah meredhai kita.

Segala yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu dari kelemahan diri ana sendiri, ana mohon maaf. Semoga Allah mengampunkan ana atas khilaf ana samada yang disedari ataupun tidak. Allahu taala a’lam.
--
Damba Redha Tuhan
9 Ogos 2011 | 9:00 p.m
- MD -

Ulasan Pembaca