Didik Al Quran

Sunday, November 11, 2012

Dilema Hadapi Pilihan


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyantun

Allah.. Tuhan yang menciptakan dan mematikan. Yang memberi pilihan dan ujian kepada setiap hamba-Nya. Hanya yang sedar hakikat kehidupan ini sahajalah yang mampu harungi semuanya dengan REDHA dan SABAR. Semoga Allah membantu kita membuat pilihan yang betul di sisi-Nya, amin.
 
Erti Hidup pada Pilihan
Setuju dengan kata-kata Ustaz Zamri Mantop, 'Erti hidup pada pilihan'. Benar, setiap hari kita dihidangkan dengan lambakan pilihan. Betul tak? Mana tidaknya bangun pagi celik mata saja pilihan demi pilihan dah menjengah. Nak bangun solat atau sambung tidur? Nak pakai tudung labuh atau pendek? Nak pakai Jubah atau t-shirt. Nak masak apa pagi, tengahari dan malam hari? Nak kemana hari ini, Jusco atau Tesco? Nak tengok TV3 atau TV al-Hijrah? Dan banyak lagi. Itulah pilihan-pilihan yang biasa dihadapi. Pilihan besar juga turut sama mengintai kehidupan kita. Nak belajar di UTM atau Al-Azhar? Nak Poligami atau Monogami? Nak terima pinangan si A atau si B? Nak Kahwin waktu belajar atau habis belajar? Kita semua akan hadapi samada pilihan yang kecil mahupun yang besar. Namun bagaimana kita menyikapi pilihan demi pilihan yang Allah hantarkan kepada kita? Itulah persoalannya.

Menyikapi Pilihan dalam Kehidupan
Pilihan yang kecil insya'Allah tiada masalah bagi kita untuk membuat keputusan. Namun pilihan yang besar selalunya agak sukar untuk kita tempuhi dan lalui apalagi membuat keputusan. Soalnya, bagaimana kita menyikapi 'pilihan besar' itu. 

Saat kita digugah dengan pilihan, pertama sekali apa yang perlu kita lakukan adalah kita jumpa Pemberi Pilihan yakni Allah. Allah yang beri kita pilihan dan Dialah Penyelesai kepada segala kekusutan kita. Lakukanlah solat istikharah dan berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah disamping doa istikharah Lalu bermusyawwarahlah dengan orang-orang terpecaya, ibu bapa dan suami (buat orang yang telah berumahtangga). Insya'Allah Allah akan membantu kita membuat pilihan dengan baik sekali. Yakinilah insya'Allah. Walau sesulit manapun bagi kita tapi sangatlah mudah bagi Allah.



Amatilah makna doa istikharah, ianya sudah cukup bagi kita meluahkan segalanya kepada pemilik segala persoalan yang kita hadapi. Makna doa istikharah mencakupi keseluruhan perkara dalam kehidupan kita selaku hamba yang tidak sepi dan sunyi dari pilihan. Dengan penuh pengharapan kepada Allah kita melafazkan doa istikharah, sudah cukup menunjukkan bahawa kita menyerahkan urusan kita kepada Allah. Itulah sebaiknya bagi kita selaku hamba Allah. Setelah istikharah dan munajat kepada-Nya, laluinya dengan hati yang tenang. Yakinilah bahawa kita dah serahkan urusan kita kepada Allah. Lalu lakukan musyawwarah. Apa yang datang sesudahnya (kecenderungan hati atau sebagainya) insya'Allah itulah jawapan dari Allah buat kita. 

Istikharah Satu Keperluan Bukan Pilihan
Memandangkan hari-hari kita diwarnai dengan lambakan pilihan demi pilihan ibarat warna-warni sang pelangi. Justeru istikharah adalah suatu keperluan kepada diri kita bukan pilihan. Ianya wajar dijadikan sebagai rutin yang menghiasi hari kita agar setiap perilaku dan langkah kita terpandu dengan panduan ilahiah, Allah bersama-sama dengan pilihan kita. Kita tentu mahukan keputusan yang terbaik untuk hidup kita, lalu apa lagi? Lazimilah istikharah! Insya'Allah pilihan dan langkah kita adalah yang terbaik dari-Nya untuk kita. Selepas lakukan solat dhuha, tambahlah 2 rakaat lagi untuk istikharah. Moga Sepanjang hari kita dipandu Ilahi. Jika kita menjadikan Allah tempat rujuk yang terpenting dan utama, pasti Allah tidak akan menyia-nyiakan kita. Lakukanlah dan insya'Allah dikau pasti akan menjadi tenang menghadapi apa jua pilihan yang mendatang.

wallahu a'lam..

p/s: Pencerahan untuk insan yang di ingati lagi disayangi ^_~


-By Musafir

No comments:

Post a Comment

Ulasan Pembaca