Bismillah..
Suasana kelas hiruk pikuk, masing-masing sibuk bercakap dengan cerita yang tiada kesudahannya. Ada saja hal yang hendak dicakapkannya. Walaupun ada guru dalam kelas, tidak sedikit pun membuatkan suasana bertukar rupa malah sebaliknya bertambah bising. Keadaan itu membuatkan Aisyah tidak senang duduk, hatinya panas membahang saat rakan-rakannya tiada rasa hormat kepada guru yang ada di depan.
"Tolong lah diam! Cikgu kan ada di depan, hormatlah sikit.." Akhirnya Aisyah bersuara menyebabkan semua tertumpu kepadanya. Sedikit terkesan mungkin.
Keadaan kelas masih seperti awalnya namun senyap sedikit dari sebelumnya, penangan suara Aisyah.
Aisyah seorang pelajar yang dikenali sebagai pelajar pendiam di dalam kelas dan sering menumpukan perhatiannya kepada guru yang sedang mengajar. Sangat menghormati guru sehingga tidak keluar kelas walaupun dalam keadaan nak ter'kucil'! Aisyah sangat disegani oleh rakan-rakannya di kelas. Hanya kerana beliau menggunakan mulut pada waktu yang diperlukan sahaja dan tidak suka bercakap tidak tentu hala menyebabkan beliau dihormati rakan-rakan sekelas.
"Barangsiapa suka bersenda gurau, ia akan dianggap remeh oleh orang lain." (Umar bin Khththab)Mengimbau detik awal mengapa kelas fizik kelihatan begitu tertekan dengan suasana bising adalah disebabkan faktor hilangnya minat di kalangan pelajar kelas itu terhadap pengajaran guru yang mengajar subjek itu. Tingkatan 4 sains 2 sudah hampir dua minggu tidak belajar subjek fizik kerana guru yang mengajar tidak ada. Yang ada pun mengajar sekejap saja dan telah tamatkan pengajaran kerana beliau adalah guru praktikal. Sehinggalah guru baru datang memenuhi ruang kosong tersebut.
"Assalammua'laikum murid-murid" Guru baru memulakan pengajaran.
Keadaan kelas senyap, semua pelajar menumpukan perhatian kepada guru baru dihadapan. Biasalah apabila guru baru demikian keadaannya. Apalagi jika guru tersebut adalah guru lelaki.
Keadaan sepi bertukar hinggar binggar apabila guru tersebut belum mahir dengan subjek yang di ajarnya. Mungkin beliau bukan guru fizik dan terpaksa mengajar subjek tersebut atas arahan pihak sekolah. Setiap kali beliau mengajar beliau akan lakukan pembetulan hingga membuatkan pelajar pening-pening lalat.
"eh eh.. salah-salah.. Sekejap ye.." Kata guru tersebut menyedari apa yang di ajarkan sebentar tadi salah.
Akhirnya pelajar tidak peduli lagi akan kehadiran guru tersebut di dalam kelas. Masing-masing bukan saja tidak mengendahkan guru tersebut. Malah boleh bermain-main di belakang dan berbuat bising! Keadaan kelas sedemikian begitu memberikan tekanan kepada Aisyah. Walaupun beliau juga turut merasakan apa yang dirasakan oleh rakan-rakannya namun beliau tidak tergamak untuk memperlakukan guru sedemikian rupa sebagaimana yang dilakukan oleh rakan-rakannya. Apa yang dilakukannya hanya memnumpukan perhatian kepada guru dihadapan dan sesekali cuba membantu cikgu menenangkan keadaan kelas.
Walaupun pelajar lain hilang hormat kepada guru fizik tersebut, namun Aisyah tetap dengan caranya. Baginya cikgu wajib dihormati dan kelemahan yang ada pada diri seorang guru bukan untuk direndah-rendahkan tetapi ianya membuka peluang untuk pelajar lebih berusaha gigih. Tak mengapalah guru tidak mahir dalam pengajarannya, yang pastinya dirinya perlu berusaha lebih daripada biasa. Dan itulah yang dilakukan oleh Aisyah.
Setiap kali ujian dan peperiksaan, perkara yang menggemparkan kelas 4 sains 2 adalah subjek fizik hampir keseluruhan pelajar GAGAL subjek itu, tetapi tidak bagi Aisyah. Aisyah seorang saja yang sering lulus subjek tersebut malah beliau mendapat markah tertinggi subjek itu dalam kelasnya. Dan mendapat markah kedua tertinggi di sekolah itu. Bagi Aisyah sendiri, beliau gusar menghadapi subjek fizik kerana akur dirinya sangat lemah subjek tersebut, apalagi usaha perlu dilipat gandakan berbanding subjek lain. Namun keputusan ujian dan peperiksaan membuatkannya kehairanan dan bingung dalam syukur.
"Mungkin ini anugerah Allah berkat menghormati guru fizik" monolog hati Aisyah.
"Jangan meremehkan dalam menghormati guru kerana ada berkat ilmu yang Allah titipkan dan ada rahmat Allah bagi siapa yang mengetahui akan nilai hormat yang sewajarnya kepada seorang bergelar guru"
No comments:
Post a Comment