Didik Al Quran

Wednesday, March 20, 2013

Al-Hafiz kah Anda?



Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang


Alhamdulillah. Tatkala ramai yang diberi nikmat tidur saat ini, ada juga yang ditarik nikmat itu. Bersyukurlah selalu atas segala nikmat kurniaan-Nya, mungkin juga 'jaga' itu satu nikmat daripada Allah. Kita sendiri tidak tahu. Milik Allah semua kejadian. Alhamdulillah.

Mutakhir ini hati dirundung kesedihan yang tiada berpenghujung. Sedih dengan insan-insan pilihan yang tidak mensyukuri nikmat yang Allah anugerahkan padanya. Tidak semua orang yang Allah pilih dan tempatkan di tempat-tempat yang baik, seperti di Tahfiz-tahfiz dan Maahad. Namun sejauh manakah pilihan Allah itu disyukuri dan dimaknai dengan sebaiknya?! Allahu akbar.

Al-Hafiz Mutakhir Ini

Mata dan telinga ini tidak sunyi daripada cerita yang menyedihkan hati. Allah. Seorang demi seorang terkeluar dari landasan. Innalillah. Bukan sahaja keluar dari saff tahfiz malah menempah jalan yang dimurkai Allah. Tidak kenal yang mana HALAL dan HARAM! Melakukan perkara yang Allah murkai! Tidak berilmukah kalian?! Astaghfirullah. Luluh hati ini. Sampai bila cerita sedih ini akan berhenti?! Tidak terkecuali, hafizah! Astaghfirullah. Bukan semua, masih ada lagi yang terpelihara dan menjaga diri, insya'Allah (Mudah-mudahan, itulah yang diharapkan). Namun inilah ceritanya saban waktu dan ketika. Innalillah. Mengapakah demikian?! Mengapa?!

Syukurilah Nikmat-Nya

Sungguh beruntung orang-orang yang dipilih Allah dan mensyukuri nikmat kurniaan-Nya. Sedarkah kalian wahai para huffaz, kalian terpilih dari berjuta-juta manusia. Allah angkat kalian, untuk tinggikan darjat kalian dengan menghafal ayat-ayat-Nya. Bukan ayat-ayat yang direka oleh manusia! Tapi ianya adalah kata-kata Allah, Pemilik dirimu, semua makhluk yang melata dan sekalian alam ini! Berapa ramai di luar sana, berkeinginan untuk menjadi huffaz namun Allah tidak memilihnya, memendam rasa yang belum dapat dipenuhi hingga saat ini detik ini! Subhanallah. Semulia-mulia darjat yang Allah nak berikan kepada kalian, tapi mengapa kalian sedemikian rupa?! Kalian boleh diibaratkan seperti pepatah 'tak tahu diuntung'. Suatu anugerah yang tiada harga yang dianugerahkan kepada kalian oleh pemilik alam ini, malah ianya ditolaknya dan dipersia-siakan. Rugi seruginya! Lailaha illallah..


Apa Sudah Jadi?
Para huffaz zaman Rasulullah, hebat. Hebat peribadinya, hebat ilmunya, hebat akhlaknya, hebat teqadnya dan semuanya! Nilai diri yang sangat tinggi. Menyumbang manfaat yang sangat besar kepada ummat Islam. Daripada mereka lahir para ilmuan Islam yang cerdik pandai. Mereka pencetus kepada penemuan ilmu-ilmu baru yang sangat dikagumi barat! kehidupan yang dilalui sangat sibuk mengabdi diri kepada Tuhannya dan sibuk memberi manfaat kepada masyarakat Islam. Bagaimana pula para huffaz kita hari ini?! Sudah sehebat merekakah kalian?! Bukalah minda dan hati menyusuri kisah para huffaz zaman Rasulullah dan para sahabat. Kenali mereka, fahami kisah hidup mereka dan ikutilah! Jadilah seperti mereka! Walau dah beribu tahun meninggal dunia namun namanya masih disebut-sebut hingga kini. Ilmunya diajarkan di masjid-masjid, dikuliahkan dan di ajarkan di madrasah dan sekolah mahupun di universiti. Hasil tulisannya menjadi rujukan sepanjang zaman. Kalian bagaimana?! Sudah seperti itukah?!

Imam Nawawi
Siapakah beliau ini? Pernah dengar dengan nama ini? Insya'Allah suka ana bawakan contoh Al-Hafiz yang seorang ini sebagai pembuka mata hati kita semua khususnya kepada para pelajar tahfiz, insya'Allah. Semoga kalian dan kita semua dapat mencontohi beliau, insya'Allah, amin.

Beliau adalah al-Imam, al-Hafiz, Syaikhul Islam, Muhyiddin, Abu Zakariya, Yahya, bin Syaraf, bin Muri, bin Hassan, bin Hussain, bin Muhammad, bin Jumah, bin Nizam al-Nawawi.

Beliau lahir pada bulan muharam tahun 631H di Kota Nawa, Damascus. Beliau membesar hingga dewasa dan menghafal al-Quran di kota tersebut.


Seterusnya beliau mengembara ke Kota Damascus untuk menimba ilmu. Beliau bertutur perihal dirinya: "ketika usia saya mencapai 19 tahun, ayah telah membawa saya berpindah ke Damascus pada ketika beliau berusia 49 tahun. Di sana saya belajar di Madrasah Rawahiyyah. Selama lebih kurang dua tahun disana, saya jarang tidur nyenyak disebabkan tidak lain adalah kerana saya ingin mendalami semua pelajaran yang diberikan di Madrasah tersebut. Saya pun berhasil menghafal al-Tanbih kurang lebih selama 4, 5 bulan. Seterusnya, saya berhasil menghafal 1/4 ibadat daripada al-Muhadzdzab di bulan baki berikutnya dalam tahun tersebut. Saya juga banyak memberi teguran kepada syeikh kami, Ishaq al-Maghribi. Saya juga sangat teruja bermulazamah dengan beliau. Beliau pun merasa tertarik kepada saya ketika melihat saya yang begitu bersungguh-sungguh dalam semua aktiviti saya dan tidak pernah bergaul dengan kebanyakan orang. Beliau pun amat senang dengan saya dan akhirnya beliau menjadikan saya sebagai pembantu dalam halaqahnya, mengingatkan jemaahnya yang begitu ramai" 

Beliau telah menulis banyak kitab-kitab yang muktabar yang menjadi rujukan kaum muslimah sehingga ke hari ini. Antaranya adalah Syarah Sahih Muslim, Syarah Sahih Bukhari, Riyadus Solihin, Al-Azkar, Syarah sunan Abi Daud dan banyak lagi.

Beliau adalah seorang yang sangat warak dan zuhud. Al-zahabi berkata " Beliau adalah seorang yang sangat sederhana dalam hidup dan anti kemewahan. Beliau adalah seorang yang bertaqwa, qanaah, wara', memiliki muraqabatullah sama ada disaat sepi mahupun ramai. Beliau tidak menyukai kesenangan peribadi seperti berpakaian indah, makan minum yang lazat, dan nampak mentereng. Makanan beliau adalah roti dengan lauk seadanya. Pakaian beliau adalah pakaian yang seadanya dan hamparan beliau hanyalah kulit yang disamak"


Beliau selalu berusaha untuk melakukan amal makruf dan nahi mungkar sekalipu terhadap penguasa. Beliau serig berkirim surat yang berisi nasihat kepada mereka agar berlaku adil dalam menjalankan kekuasaan, menghapuskan cukai dan mengembalikan hak kepada ahlinya. bul Abbas berkata "Syeikh (al-Nawawi) telah berhasil meraih tiga tigkatan yang mana satu tingkatannya saja jika orang biasa berusaha untuk meraihnya tentu akan merasa sulit. Tingkatan pertama adalah tingkatan ilmu yang dalam dan luas. Tingkatan kedua adalah zuhud yang sangat. Tingkatan ketiga adalah keberanian dan kewibawaannya dalam beramal ma'ruf nahi mungkar"

Khatimah

Masya'Allah tabarakallah demikianlah satu sorotan kisah seorang alim ulama' yang bukan sahaja hafiz tetapi ilmu dan akhlaknya subhanallah. Semoga kisah yang dibawakan ini memangkin semangat para hafiz di luar sana supaya bukan saja asyik dalam menghafaz ayat-ayatNya tapi mengaplikasikannya dalam kehidupan dan berakhlak dengan akhlak al-quran dan mendalami ilmu agama serta menyebarkannya untuk kebaikan ummah insya'Allah. Ianya juga satu cabaran dan tamparan hebat buat para hafiz akhir zaman. Semoga langkah para huffaz terpandu dan tetap berada atas landasan-Nya biiznillah.

Allah.. Tolonglah dan peliharalah para hafiz di bumimu ini.. Allahumma amin


No comments:

Post a Comment

Ulasan Pembaca